Wednesday, June 6, 2012

KENAPA KITA DITEGAH MINUM SAMBIL BERDIRI

 MENGAPA RASULULLAH SAW MELARANG KITA MINUM SAMBIL BERDIRI?
 
Sejak kecil memang kita selalu ditegur oleh mak & ayah.. terutama zaman2 dulu. memang pantang sangat2 bila orang2 tua nampak bebudak minum berdiri. sebagai alternatif teguran secara baik, kita diajar atau disuruh duduk bila nak minum kerana lebih beradat katanya.. tapi sebenarnya, ada yang tersirat dan tersurat disebalik tegahan dan adat itu sendiri. bukan sekadar menjaga adat bersopan, tapi ianya adalah fakta dari Rasullullah s.a.w sendiri..

Ternyata secara perubatan, dlm tubuh kita terdapat penapis sfringer. Saringan tersebut dapat terbuka ketika kita duduk, dan tertutup ketika kita berdiri. Air yg kita minum belum 100% steril untuk di olah oleh badan. Bila kita minum sambil berdiri, maka air tidak tersaring oleh sfringer kerana tertutup. Air yg tidak tersaring oleh sfringer terus masuk ke kantung kencing, boleh mnyebabkan penyakit kristal ginjal.

Subhanallah, tiap perintah dan larangan Rasul pasti bermanfaat bagi umatnya!

Terapi air putih : JANGAN LUPA BANYAKKAN MINUM AIIR MASAK..

1. Minum 2 gelas air setelah bangun tidur dpat membersihkan organ-organ internal.
2. Minum segelas air 30 minit sebelum makan dapat membantu fungsi seluruh pencernaan + ginjal
3. Minum segelas air sebelum mandi dapat menurunkan tekanan darah
4. Minum segelas air sebelum tidur dapat mencegah stroke + serangan jantung 


Pokok Jiwa Tiga Beradik ^_^

"Adik.. Bangun la.. Tak elok tidur lepas subuh ni.."
Si Angah mengejut Si Adik yang menarik selimut selepas selesai solat subuh.
"Laa.. Tidur lagi.. Oit.. Bangun la.. Orang dah siap mandi dah.. Sejukkkk!!"
Si Along keluar dari bilik air kesejukan.
"Angah gi la mandi dulu.. Nanti dah sudah mandi kejut adik eh.. Mandi lama-lama sikit.."
Si Adik menarik semula selimut menyelubungi seluruh badannya.
Pagi itu, suasana ceria dengan tiga beradik berkumpul semula. Setelah sekian lama mereka tidak berkumpul dan bermesra begitu. Pagi itu juga mereka bersarapan sekeluarga bersama. Si Ayah cuti dan Si Emak pun menyediakan sarapan yang amat menyelerakan. Sambil makan, Si Ayah dan Si Emak mengambil tahu keadaan anak-anak mereka. Masa yang terluang bersama dimanfaatkan.
Antara faktor masalah sosial di kalangan anak-anak adalah disebabkan kurangnya kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Si Ayah dan Si Emak cukup memastikan keluarga ini tidak akan melahirkan anak-anak yang menyumbang kepada masalah tersebut.
"Mak, ada nak wat apa-apa ke pagi ni, mak?"
Si Adik bertanya setelah selesai pinggan yang terakhir dibasuhnya.
"Tu halaman rumah tu, nak kemaskan sikit. Nak tanam pokok-pokok sikit.. Adik nak tolong ker?" Si Emak bersiap-siap untuk mengemas halaman rumah.
"Tu abah dah ada kat luar tu.. Pergi la tengok kot-kot ada apa-apa yang boleh ditolong."
Tambah Si Emak lagi. "Laa.. Dah kat sini rupanya."
Si Adik tengok Si Along dan Si Angah dah sedang menolong Si Ayah.
"Nak tolong jugak.." Katanya.
"Ha.. Meh sini tolong... Tolong tengok.."
Si Along menyakat Si Adik sambil mengangkat batu bata terakhir untuk di susun buat alas pasu-pasu bunga Emak.
"Tolong tengok wat pe.. Tu kucing tu dari tadi dah tecongok kat situ tolong tengokkan.."
Si Adik geram tak dapat tolong apa-apa lagi. Si Adik pun mendapatkan Si Ayah yang sedang menguis-nguis tanah menggunakan penyodok kecil.
"Hmm.. Macam menarik.." Monolog Si Adik dalam hati.
"Abah wat pe, bah?" Tanya Si Adik kepada Si Abah.
"Macam best je.. Nak tolong.."
Si Adik menghulurkan tangan meminta penyodok kecil untuk menolong.
"Nah.. Baik-baik.. Buat lubang untuk tanam anak pokok ni.."
Si Ayah menghulurkan penyodok kecil kepada Si Adik.
"Anak pokok apa ni, abah?"
tanya Si Adik sambil menguis-nguis tanah dengan penyodok.
"Pokok mangga.. Dah besar nanti boleh la kita wat pangkin, berteduh bawah dia.."
kata Si Ayah sambil mengesat peluh di dahi. Matahari sudah mula menunjukkan sinarnya.
Si Along dan Si Angah yang telah selesai dengan kerja mereka datang merapati Si Adik. Si Ayah melemparkan pandangannya jauh.
"Tapi.. lambat la nak tunggu dia besar.." Si Adik mencebik muka.
"Nak kena jaga elok-elok lagi.." Si Angah menambah.
"Pastu rumput ni senang-senang jer tumbuh dekat sekeliling dia.."
Si Along pula bersuara.
"Mula-mula memang la macam leceh...."
Suara Si Emak kedengaran dari muka pintu.
"Tapi bila dah berbuah nanti, korang jugak yang dapat rasanya."
Sambung Si Emak sambil meletakkan air minuman yang dibawanya ke atas meja.
"Mula-mula, kena jaga elok-elok anak pokok tu.. Jangan bagi kena pijak, jangan bagi kucing kais-kais tanahnya. Rumput-rumput kat sekeliling pokok tu pun kena cabut selalu."
Si Emak memberitahu.
"Bagi akar dia kuat dulu, bagi tumbuh daun-daunnya, bercambah dahan-dahannya. Nanti bila pokok tu dah besar, dah merimbun, baru la dapat kita buat pangkin duduk kat bawah dia, pastu sambil-sambil tu boleh makan buah dia. Ha.. Sebelum tu, nah.. kita minum jer air kordial mangga yang mak buat ni." Si Emak menghulurkan gelas berisi air mangga kepada Si Ayah, Si Along, Si Angah, dan Si Adik, kemudian Si Emak meneguk air mangga dari gelasnya bersama-sama.
"Tu la ciptaan Allah.. Akhirnya kebaikannya dapat kat kita jugak.." kata Si Along.
"bukan pokok mangga je macam tu tau...."
"memang la.. pokok-pokok lain pun sama jugak."
Si Angah mencelah sebelum sempat Si Ayah menghabiskan kata-katanya.
"Maksud abah, ada jugak pokok lain selain tumbuh-tumbuhan ni yang macam tu.."
Si Ayah cuba menerangkan.
"Pokok apa, abah?" Si Along, Si Angah, dan Si Adik serentak.
"Pokok jiwa.." Si Emak yang menjawab.
"Pokok jiwa?" tiga beradik itu sekali lagi serentak. Tidak faham, dan ingin tahu.
"Jiwa.. Jiwa kamu semua.. Jiwa manusia.."
Si Ayah mula berbicara.
"Muslim cemerlang jiwanya kuat. Nak memperoleh jiwa yang kuat, bukan senang. Jiwa yang kuat perlu disemai dan dijaga dengan elok dan berhati-hati. Rumput-rumput yang tumbuh disekeliling anak pokok mangga, samalah anasir-anasir luar yang mengancam pokok jiwa. Baja yang ditabur dan air yang disiram untuk anak pokok mangga, samalah dengan nasihat, motivasi, dan ilmu yang perlu diberikan kepada pokok jiwa. Sukar dan lama untuk membina akar yang kuat untuk anak pokok mangga, Sukar dan lama juga untuk membina keyakinan pokok jiwa. Tapi.. apabila sudah terbina akan ia, akar yang kuat itu, maka ia akan terus bercambah sehingga dahan dan daunannya menjadikannya sebuah pohon yang rendang, rimbun, menaungi dan memayungi manusia yang berteduh di bawahnya serta mengeluarkan buah-buah yang sedia dipetik dan lazat dimakan. Begitu juga pokok jiwa, apabila sudah terbina keyakinan yang kukuh padanya, berserta dengan proses tarbiyah yang berterusan maka manusia itu akan menjadi tempat rujukan dan menjadi teman serta mendatangkan manfaat pula kepada orang lain." Panjang lebar bicara Si Ayah.
"Dan.. Macam-macam pokok kita boleh tanam.. Pokok mangga, pokok rambutan, pokok apa pun.. Buahnya tetap ikut pokok tersebut.. Dan di jiwa kamu? Tanamlah pokok jiwa yang akan membuahkan keimanan, keilmuan, semangat jihad, dan lain-lain."
Si Ayah mengakhiri bicaranya sambil menghabiskan air mangga di gelasnya. Si Along, Si Angah, dan Si Adik mengangguk-angguk mendengar nasihat daripada Si Ayah. Di dalam hati mereka berkobar-kobar untuk menyemai pokok jiwa.

Sunday, March 11, 2012

Alkisah.......

Bismillahirrahmanirrahim.....

Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.
Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .
Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.

Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang. Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.

Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.
Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .
Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”


Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.
Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi.
Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.
Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa..
Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.
Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat.

Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3;
“…pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

Dengarlah Duhai Temanku.........

Temanku,
Allah menciptakan manusia sama,
dengan sebaik-baik kejadian,
cuma amalan manusia itu  berbeza-beza,
ada yang lalai dengan angan-angan,
ada yang tekun berusaha,
tentu nasib mereka berlainan,
kerana Allah Maha Adil sifat-Nya,
kelalaian dibalas kegagalan,
kerajinan dibalas kejayaan dan pahala,
kau diberi peluang membuat pilihan,
kau jua yang tanggung natijahnya.

Sedarlah temanku,
kita musafir di dunia,
kita akan pulang kepada-Nya,
hidup di dunia akan ditanya,
adakah diisi dengan sebaiknya,
atau keseronokan semata-mata?
mahukah kita hidup terhina?
tanpa ilmu sebagai  bekalnya,
kelak di sana rendah darjatnya.

Temanku,
Renungilah sebiji cawan,
jika tidak dituang air,
molekul udara memenuhinya,
begitu juga diri kita,
jika tidak diisi  iman,
masuklah syaitan bermaharajalela,
diri kita perlu pengisian,
dengan ilmu dan agama,
agar hidup dekat dengan-Nya,
barulah hatimu tenang bahagia.

Ketahuilah temanku,
Kemuliaan manusia bukan pada luaran,
tapi pada hati yang takutkan Allah,
oleh itu,tekadkan keyakinan,
kau ummat pilihan,
'You are the best ummah'.
Jelaskan visi perjalanan,
jadikan ilmu sebagai bekalan,
sedarlah kita pemikul amanah Tuhan,
ketinggian seseorang kerana iman.

Lantaran itu,carilah redha Tuhan,
dengan melakukan sebaik-baik amalan,

Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
bakal mengangkat darjatmu disisi-Nya,
jika kau redha,sabar dan terus berusaha,

Temanku,
Bangkitlah dari lenamu yang panjang,
dan tidak pernah berkesudahan,
sekali kau terjatuh,
jangan biarkan dirimu jatuh selamanya,
kau punya kekuatan untuk bangkit semula,
dan mara berlari kencang,
mencipta taufan,
Berjuanglah temanku sayang,
tanpa mengenal penat dan jemu,
biar hidup kita derita dengan usaha,
kelak kita akan dimulia,
jika tidak di dunia,
nun di syurga.

About Love........

My friends......
To love someone is nothing,
to been loved by someone is something,
to been loved by someone you love is exciting,
BUT to been loved by ALLAH is EVERYTHING........

Rahsia Solat

Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa ada sekali Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya.Pada masa itu ialah musim daun-daun gugur.Baginda ambil ranting sebatang pohon yg daun-daunnya mulai gugur dengan lebatnya,seraya Baginda s.a.w bersabda,"Ya Abu Zar! Apabila seorang Islam menunaikan solatnya kerana ALLAH,dosanya gugur seperti daun-daun ini gugur dari pohon ini".
Solat ini ada banyak kebaikan dan rahsianya. Antaranya, Inilah dia rahsia solat, sebagai peringatan bagi yang dah tahu atau panduan bagi yang baru tahu.

1 - Niat Sembahyang : Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.
2 - Berdiri Betul : Fadilatnya, ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.
3 - Takbir-ratul Ihram : Fadilatnya, sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.
4 - Fatihah : Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.
5 - Ruqu' : Sebagai tikar kita di dalam kubur.
6 - I'tidal : Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsar ketika didalam kubur.



7 - Sujud : Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL-MUSTAQIM.
8 - Duduk antara 2 Sujud : Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur
9 - Duduk antara 2 Sujud (akhir) : Menjadi kenderaan ketika kita dipadang Mahsyar.
10 - Tahhiyat Akhir : Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh Munkar & Nankir di dalam kubur.
11 - Selawat Nabi : Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.
12 - Salam : Memelihara kita di dalam kubur.
13 - Tertib : Akan pertemuan kita dengan Allah S. W. T.

- Artikel iluvislam.com

Saturday, March 10, 2012

U-Turn Ke Jalan Yang Diredhai-Nya

“Assalamualaikum, maaf cikgu, saya lambat”, kata Aisyah yang terlambat ke kelas tambahannya pada petang itu. Cikgu Alif hanya tersenyum dan memberikannya helaian kertas latihan. Aisyah mengambil tempat duduk berhampiran dengan sahabat baiknya.
Firdaus yang dari tadi hanya tertunduk cuba meyakinkan hatinya yang dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Aisyah. Lama sudah dia memendam rasa. Dia sedar siapalah dia dibandingkan dengan Aisyah, seorang gadis yang cantik, bijak dan beragama.
Sepanjang mengenali Aisyah, jarang-jarang sekali dia melihat Aisyah berbual dengan lelaki lain, pakaiannya juga sentiasa menutup aurat. Perilakunya lemah-lembut, senyumannya manis. Itulah yang menarik hati Firdaus. Sedangkan Firdaus hanya seorang pelajar yang rendah akhlaknya, dia sendiri mengakui hal itu. Biarpun menuntut di sekolah agama, tetapi solatnya entah ke mana dan waktu-waktunya sering disibukkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Suatu petang, Firdaus duduk berehat di halaman rumahnya sambil membaca majalah hiburan, dia memang tidak pernah ketinggalan dari segi hiburan. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara seorang perempuan memberi salam. Firdaus menghampiri pintu pagar. Hampir terkeluar biji matanya melihat Aisyah sedang berdiri sambil memegang bungkusan yang tidak tahu apa isinya.
“Ganggu ke? Maaf lah..ni mak saya suruh hantar kepada mak awak. Asyraf pulang ke kampung.” Firdaus hanya membalas dengan ucapan terima kasih. Mereka berbalas salam dan Aisyah berlalu pergi.
Asyraf... apakah kaitan Aisyah dan Asyraf? Semalaman Firdaus memikirkan perkara tersebut. Asyraf adalah rakan baiknya di kelas tambahan. Tetapi tidak pernah pula Asyraf menyebut tentang Aisyah. Dia akhirnya terlena. Dalam lenanya Aisyah bertandan lagi, cukup indah sekali baginya.
Keesokan paginya dia bangkit, bangkit dengan satu azam! Ya. Dia telah bertekad. Dia mahu meluahkan perasaannya kepada Aisyah. Dia mahu memiliki Aisyah. Tidak mahu terlambat, Aisyah tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan orang lain. Terketar-ketar tangannya menaip mesej menghulurkan salam perkenalan kepada Aisyah.
Seketika kemudian telefonnya berbunyi. Menandakan ada mesej yang diterima. Alangkah gembiranya dia apabila salam perkenalannya disambut mesra. Mereka terus berbalas mesej selama beberapa hari.
Bagi Aisyah tiada salahnya hanya berkawan. Tidak pula dia sedari maksud sebenar Firdaus. Aisyah juga mengagumi wajah tampan Firdaus, tetapi perasaan itu disembunyikan daripada sesiapa pun. Aisyah yakin dia pasti akan diejek lantaran perwatakan buruk Firdaus. Tiga hari selepas perkenalan mereka, Firdaus berjaya mengumpul kekuatan untuk meluahkan rasa hatinya kepada Aisyah.
“Saya nak tanya awak satu soalan, boleh?" “Apa dia?”, Aisyah membalas ringkas.
“Kalau saya nak couple dengan awak, awak nak tak?”, terasa hampir gugur jantung Aisyah tatkala membaca mesej Firdaus itu.
Tidak disangka sejauh itu niat Firdaus. Dia buntu memikirkan jawapannya. Memang sepatutnya dia menjawab “tidak” dengan tanpa ragu- ragu. Bukan dia tidak tahu couple itu hukumnya haram. Tetapi hatinya terus mendesak untuk dia berkata ya.
Firdaus juga sudah berjanji untuk berubah jika Aisyah menerimanya. Dia meminta masa selama tiga hari daripada Firdaus untuk memberikan jawapan. Firdaus pula hanya bersetuju. Tetapi sebenarnya Firdaus hairan kerana sebelum ini gadis-gadis yang ”dilamarnya” pasti akan bersetuju tanpa berfikir panjang.
Tempoh tiga hari yang dipinta Aisyah sudah berakhir. Firdaus menghantar mesej meminta jawapan daripada gadis itu. Aisyah sudah bersedia dengan jawapannya. Firdaus menanti dengan penuh debaran sama ada dia dapat memiliki gadis yang dicintai dan dikaguminya. Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Terketar-ketar tangan Firdaus membuka mesej.
“Maaf, saya tak boleh. Saya tak tahu kenapa tetapi saya rasa takut.”
Firdaus hanya terkebil-kebil. Spontan jarinya menaip mesej. ”Tapi kenapa?” dan mesejnya dibalas “Sabda Rasulullah s.a.w.. Barang siapa yang jatuh cinta, lalu menyembunyikannya dan memelihara kesucian dirinya serta bersabar sampai dia meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang mati syahid.”
“Kuno betul...macam orang tua dulu-dulu je. Kau ingat kau cantik dan baik sangat ke? Sombong...memilih pulak. Jadi anak dara tua nanti baru kau tahu!”, bentak Firdaus dalam mesejnya.
Aisyah merenung telefon bimbitnya, dan tanpa disedari air matanya menitis. Bukan dia menyombong, dan bukan pula dia memandang rendah pada Firdaus.
Sejujurnya ada perasaan cinta yang dipendam, namun dia lebih cintakan Allah, Allah tetap cinta utamanya. Dia nekad untuk membuat perubahan dalam diri dan mengabaikan cinta dunia buat masa ini. Banyak lagi yang perlu diutamakan. Dia sedar masih jauh perjalanannya.
Setahun berlalu, Firdaus masih hanyut dalam dunianya sendiri. Dia masih belum dapat melupakan Aisyah. Baginya Aisyah seorang yang terlalu ekstrem dalam agama sehinggakan untuk bercouple pun dia takut, sedangkan pada zaman ini bercouple adalah trend masa kini. Baginya mereka masih boleh bercouple dan dalam masa yang sama, menjaga ada dan batas pergaulan mereka.
Suatu hari, Fitri, abang kepada Firdaus yang seorang pelajar perubatan di University of Bristol, UK pulang bercuti. Firdaus dan Fitri memang amat rapat sejak mereka kecil lagi namun kedua mereka mempunyai sikap yang sangat berbeza. Malam itu Firdaus datang ke bilik Fitri untuk berbual-bual dan melepaskan rindu. Firdaus berbaring di katil Fitri sambil termenung memandang syiling sementara menunggu Fitri yang sedang mandi.
Dari laptop Fitri lagu "UNIC-Atas Nama Cinta” berkumandang memenuhi ruang kamar itu. Firdaus hanya menikmati iramanya tanpa menghayati maknanya.
Tika mata
Diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa menyubur harapan
Dan seketika
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan
Tersedar aku dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta
Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikkan
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih sempurna
Bukan mudah
Bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba
Menghindarkan pesona maya
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murka-Nya menghukum leka
Diatas nama cinta
Pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan
Setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redhaNya
Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasih-Nya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa
Saratkan hati ini dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai
NikmatNya
SyurgaNya
CintaNya....
Tersentak Firdaus mendengar bait-bait kata lagu itu, seperti ada kaitan dengan dirinya. Bayangan Aisyah muncul di fikirannya, dia memainkan semula lagu itu dan kini dia betul-betul menghayati maksudnya. Pelbagai persoalan bertandang di kotak mindanya.
Sebaik sahaja Fitri selesai mandi, Firdaus segera bertanya kepada abangnya:
“Pit, kau kat sana tak ada girlfriend ke?”
“Hish kau ni, study tak habis lagi nak ada girlfriend apanya”.
“Kawan-kawan kau pun tak ada girlfriend?”
"Kawan-kawan aku adalah yang dah ada girlfriend.”
“Habis tu kau tak nak ada girlfriend? Muka kacak tak kan tak ada orang nak? Ke sikit je Melayu kat sana?”
“Orang Melayu ramailah jugak. Tapi aku rasa ibu dan ayah tak bagi kot aku kahwin sekarang.”
“Pit! Alamak Pit. Aku bukan suruh kau kahwin la. Aku tanya ada tak kau couple dengan siapa-siapa.”
“Hish...Aku faham kau bukan suruh aku kahwin. Tapi tiada hubungan yang sah sebelum kahwin. Jodoh kita Allah dah tentukan.”
“Tapi kita kenalah cari kan? Takkanlah jodoh datang macam tu je kat depan muka pintu?”
“Memang lah jodoh kena cari, tapi cari dengan cara yang diredhai Allah. Always remember my brother, matlamat tak menghalalkan cara. Tak pernah...”
“Habis tu macam mana nak jumpa jodoh kalau macam tu?”
Firman Allah SWT:
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)." - [Surah An Nur: 26]
“Wow. Kau pergi sana jadi ustaz ke? Habis tu maksudnya aku akan dapat perempuan tak baik la? Sebab aku ni macam jahat je.”
“Mungkin ya, mungkin tidak. Allah yang merancang. Kadang-kala Allah jadikan sebaliknya untuk kita saling melengkapi.”
“Kau nak isteri macam mana Pit?”
“Kalau boleh aku nak isteri yang cintakan aku, rindukan aku..Dan semuanya kerana Allah.
“Aduhai... hahaha! Lawaknya. Habis tu kalau tak cantik macam mana?”
“Cantik tu subjektif la. Bagi aku cantik yang sebenarnya tu cantik dalaman. Because it will never fade away. Kalau kau sayang dia sebab cantik luaran semata-mata, kecantikan tu tak kekal, cuba kau bayangkan muka dia masa umur 80-an, kau sayang dia lagi tak agak-agaknya masa tu? Sebab tu bukan perkara main-main nak cari isteri, kena minta pandangan Allah. Insyaallah boleh berkasih-sayang sampai ke syurga. Jadi ketua bidadari aku kat syurga nanti. Rumahtangga pun diberkati.”
“Habis tu kalau couple tu jahatlah?”
“Allah larang kita bercouple. Kenapa? Nah. Baca artikel ni.” Kata Pit sambil menghulurkan helaian artikel yang menjelaskan hukum couple.
“Rasulullah SAW pun pernah bersabda, kalau kita mengahwini seorang perempuan kerana agamanya, nescaya beruntunglah kita, insyaAllah”, pesan Fitri lagi.
“Oh...okey. Apa-apa pun, terima kasih ye. Okey lah Pit, aku nak tidur dah ni. Selamat malam.”
Malam itu tidur Firdaus tidak lena. Artikel itu pun sudah beberapa kali dikhatamnya. Rasanya dia sudah faham mengapa Aisyah menolak cintanya. Rasanya Aisyah seorang yang berpandangan jauh. Jauh sampai ke akhirat, bukan untuk dunia semata-mata.
Semalaman dia tidak dapat tidur. Dia melangkah ke bilik Fitri untuk berbual lagi dengan abangnya itu. Dia tidak pasti sama ada Fitri sudah tidur atau belum. Jam menunjukkan sudah pukul tiga pagi. Jika dahulu, Fitri masih mentelaah pelajaran waktu ini. Berhati-hati pintu bilik Fitri dikuak, kelihatan Fitri sedang berteleku di atas sejadah.
Perlahan-lahan Firdaus menghampiri Fitri yang sedang khusyuk berdoa dalam esak tangis. Dalam doanya dia menyebut:
“Ya Allah ya Tuhanku... KasihMu sentiasa segar dalam setiap hembusan nafasku. Betapa lemahnya hambaMu ini. KepadaMu kelak tempatku kembali, janganlah kau biarkan cintaku terhadap dunia yang menipu daya ini melebihi cintaku padaMu.”
Jantung Firdaus mulai berdegup kencang semasa mendengar luahan hati Fitri di dalam doanya. Firdaus segera berlari menuju ke biliknya, dia menangis sepuas hati, entah dari mana datangnya air mata yang begitu kuat sekali mengalir membasahi pipinya, dia juga kurang pasti. Yang dia tahu hatinya terasa tidak tenang, dia mempunyai segala-galanya namun masih terasa kekosongan.
Terasa betapa jauhnya dia dari Tuhan. Betapa lemahnya dia. Dia mengambil wuduk dan menghamparkan sejadah, berhabuk sejadah itu diselaputi kejahilannya. Dia menunaikan solat fardhu Isyak. Hatinya berasa sedikit tenang.
Esoknya, pagi-pagi lagi dia telah berjumpa Fitri.
“Pit, aku rasa macam nak berubah la.”
“Alhamdulillah. Gembira aku dengar, tapi tiba-tiba je?”, tanya Fitri sedikit kehairanan.
“Sebenarnya semalam aku dengar kau minta ampun pada Allah, kenapa kau menangis? Aku rasa kau ni macam baik sangat. Tak macam aku ni...”
“Baik la sangat kan. Daus, cuba bandingkan amalan kita dengan amalan para nabi dan sahabat, macam langit dengan bumi! Aku takut Allah tak terima taubat aku selama ini. Hari-hari macam-macam dosa aku buat, ada yang sedar, ada yang tak sedar. Itu tak termasuk lagi dosa masa zaman jahiliah aku dulu.”
“Kau tak rasa malu ke kalau ada orang tahu lelaki macho macam kau ni menangis malam-malam?”
“ Malu? Kenapa? Daus,memang malu tu sebahagian daripada iman, tapi malu kenalah bertempat. Hakikatnya malu itu tak mendatangkan sesuatu pun melainkan kebaikan. Bukan satu perkara yang memalukan pun.
Nabi Muhammad SAW, pemimpin umat, ketua negara. Baginda telah dijanjikan Allah tempat di syurga namun baginda masih beristighfar tidak kurang 100 kali sehari, kita macam mana? Baginda sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki, kita pula?
“Best ke menangis malam-malam ini.”
“Best. Best sangat. Macam kau bercakap dengan seorang yang setia dengar tak kira apa pun masalah kau, tak kira masa. Yang tak hina kelemahan kau. Dia bagi kekuatan pula pada kau. Yang tak jemu dengar rintihan kau. Yang pujuk kau dengan janji-janji yang pasti. Yang suka dengar permintaan kau. Yang beri kau rezeki. Yang tahu apa yang terbaik untuk kau. Macam itulah rasanya.”
“Ada ke orang yang macam tu?”
“Memang tak ada lah yang setia macam tu. Hanya Allah yang Maha mendengar. Allah dekat dengan kita.”
Allah berfirman:
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." - [Al-Baqarah: 186]
"Indahkan ayat-ayat Allah? Jadikan Allah sebagai kekasih kita, dan Quran adalah ayat-ayat cintaNya. 200% sure akan rasa bahagia lepas ni, sampai akhirat, selama-lamanya...insyaAllah.”
Fitri menghulurkan sebuah buku bertajuk tulisan Imam al-Ghazali yang telah diterjemahkan. Dia berasa cukup bahagia dengan minat adiknya untuk berubah. Dalam hatinya dipanjatkan doa agar adiknya terus istiqamah di jalan Allah.
“Kalau nak berubah kena kuat tau, macam-macam dugaan. Dunia ni penuh tipu daya. Bukan suruh kau abaikan dunia sampai tak belajar, tapi buat apa-apa pun mesti kerana Allah. Allah suruh kita teroka ilmu sedalam mungkin. Kena istiqamah tau. Apa-apa masalah rujuk la ustaz ke… atau orang-orang alim, jangan pergi tanya orang sesat pula.”
“Tak tua sangat ke aku ni nak u-turn semula?”.
“ Tua ke? Aku lagi tua. Umur baru 16 dah kata tua. Bro, never too old to learn, never too late to turn. Aku akan selalu doakan kau. Uhibbuka fillah khair kathira.”
“ Okey, thanks Pit. Kau memang understanding lah..,uhibbuka fillah aidhon. bluek!”, usik Firdaus sebelum melangkah keluar dari bilik Fitri.
Perubahan sikap Firdaus sedikit sebanyak telah menjadi perangsang kepada mereka untuk turut berubah. Buku itu mula dibelek-belek. Setiap helaian dihayati dengan penuh minat. Hatinya terasa tenang. Sedikit demi sedikit perubahan dilakukan dalam dirinya. Hobi lamanya yang tidak berfaedah sudah lama ditinggalkan.
Dia juga mula berdakwah kepada rakan-rakan dan ahli keluarga. Pada mulanya dia mendapat cemuhan, kata mereka Firdaus berubah untuk Aisyah, tetapi Firdaus tetap dengan prinsipnya kerana dia yakin Allah dekat dengannya dan Allah Maha Mengetahui niatnya.
Kecekalan dan ketabahan Firdaus berkat rahmat ilahi mendekatkan dirinya dengan cita-citanya untuk bergelar seorang doktor yang akan mampu merawat penyakit jasmani dan rohani bangsanya. Dia kini bergelar seorang graduan dari Universiti Ain Shams. Menunggu untuk melapor diri di Hospital Tengku Ampuan Fatimah, Pekan, Pahang.
Tengahari tadi juga dia selamat diijab kabulkan dengan bidadari yang dinantinya sekian lama, Aisyah Humaira’ binti Ibrahim. Berkat bantuan kembar Aisyah, Asyraf Mukmin sebagai orang tengah. Malam itu mereka solat sunat pengantin baru bersama. Selesai solat, mereka bersalaman. Kelihatan permata jernih mengalir membasahi pipi Aisyah.
Dia turut sebak menahan tangis. Namun dengan tenang dia mengawal perasaan.
“Kenapa Humaira’ menangis? Humaira’ sedih ke?”
“Bukan Abang, Humaira’ bersyukur sangat. Kasihnya Allah pada kita, disimpulkan kita dengan ikatan suci." “Abang pun gembira sangat Humaira’, Allah kurniakan abang bidadari yang sangat cantik, cantik segala-galanya. Lengkap separuh agama abang. Alhamdulillah. ”
Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan buat Ilahi. Tempat datang dan kembalinya segala nikmat. Tempat selayaknya dikembalikan segala puji-pujian. Benarlah hidayahNya disalurkan melalui pelbagai cara, Alhamdulillah...
- Artikel iluvislam.com